SELAMAT DATANG


Isnin, 19 September 2011

TAZKIRAH PENDEK - MEMBAZIR

Ibnu al-Qayum al-Jauziah mengatakan terdapat sembilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan manusia antaranya:

1. Pembaziran ilmu pengetahuan - iaitu membazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan.

2. Pembaziran amalan - iaitu membazir jika tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas

3. Pembaziran kekayaan - iaitu membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah SWT.

4. Pembaziran hati - iaitu membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah SWT.

5. Pembaziran tubuh badan - iaitu membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT.

6. Pembaziran cinta - iaitu membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

7. Pembaziran masa - iaitu membazir jika tidak diurus dengan sebaiknya.

8. Pembaziran akal - iaitu membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada Agama.

9. Pembaziran zikir - iaitu membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Di manakah selalu kita bazirkan...Umum mengetahui bahawa perbuatan membazir ini merugikan.

Semoga nasihat ini memberi manfaat kepada kita semua.


Rabu, 23 Februari 2011

Kisah Kesabaran Ibrahim Bin Adham

Kisah tentang seorang wali Allah yang tidak asing lagi dalam dunia Islam, Sayyidi Ibrahim bin Adham radhiyallahu'anh. Kisah ini dipetik dan diolah kembali daripada kitab "Kanzul Minan 'Ala Hikami Abi Madyan", yakni sebuah kitab yang mensyarahkan Hikam Abi Madyan radhiyallahu'anh yang telah disusun/ diterjemah oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.

Pada suatu hari, Sayyidi Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di pasar. Kemudian, beliau bertembung dengan seorang tentera. Mungkin diakibatkan oleh salah faham, atau mungkin diakibatkan oleh sikap tentera itu yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya, tentera tersebut telah memukul kepala Ibrahim bin Adham beberapa kali. Pada ketika itu, tentera itu tidak mengetahui bahawa yang dipukulnya itu adalah Ibrahim bin Adham. Sayyidi Ibrahim bin Adham langsung tidak membalas pukulan tersebut bahkan beliau hanya bersabar dengan perbuatan tentera tersebut.

Setelah kejadian tersebut berlaku dan Sayyidi Ibrahim bin Adham pun berlalu, maka sampailah pengetahuan kepada tentera tadi bahawa yang dipukulnya tadi adalah Ibrahim bin Adham. Tentera tersebut dengan segera mendapatkan Ibrahim bin Adham serta terus meminta maaf dengan bersungguh-sungguh kepada beliau. Ibrahim bin Adham lantas menyatakan kepada tentera itu, "Semenjak daripada pukulan pertama engkau kepadaku, aku telah berdoa agar Allah mengampunkan dosa engkau."

Tentera itu agak kehairanan dengan doa Sayyidi Ibrahim bin Adham tersebut, kerana perbuatan biadabnya terhadap Ibrahim bin Adham dibalasi dengan kemaafan daripada Ibrahim bin Adham. Tentera itu lantas bertanya kepada Ibrahim bin Adham, "Kenapa memaafkanku wahai tuan?"

Lantas dijawab oleh Sayyidi Ibrahim bin Adham, "Masakan tidak. Disebabkan pukulan daripada engkau dan aku bersabar dengannya, maka aku akan dimasukkan ke dalam syurga. Maka seharusnyalah aku berterima kasih kepada engkau. Justeru itu aku balasi dengan doa semoga Allah mengampuni kesilapan engkau."

Semenjak daripada saat itu, tentera itu terus beradab dengan Sayyidi Ibrahim bin Adham dan menjadi anak murid beliau.

Begitulah contoh akhlak dan sikap seorang wali Allah, seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta'ala. Seharusnya kita sebagai orang Islam berusaha untuk mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh para 'ulama dan awliya' yang semuanya pada hakikatnya adalah merupakan limpahan daripada cahaya Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam.

Wallahu'alam.

Jumaat, 29 Oktober 2010


AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA


Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT :
Maksudnya:


"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".
(Surah Al-Ahzaab : Ayat 74).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik dari segala yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW. Hal ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.


Demikian juga dari sudut kehidupan berkeluarga. Umat Muhammad SAW hendaklah mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Perkara ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.

Tiada yang terlebih bahagia kecuali kebahagiaan hidup berkeluarga yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Cuma apa yang mungkin menyebabkan penilaian manusia itu berbeza-beza tentang konsep bahagia itu, ada hubung kait dengan tahap keislaman, keimanan dan ketakwaan masing-masing. Maknanya untuk menerima baik hakikat kehidupan Rasulullah SAW itulah yang terbaik dari yang terbaik, berkait rapat dengan ‘maqam’ atau martabat masing-masing dari sudut keislaman, keimanan dan ketakwaan.

Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.

Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Ini jelas apabila Ummul-Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: "Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran".

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 74, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.

kata hikmah:
HIDUPLAH SEPERTI SEPOHON POKOK YANG BERBUAH,
DILEMPAR ORANG MENGGUNAKAN BATU TETAPI
DIBALAS DENGAN BUAH.

Sabtu, 23 Oktober 2010

4 CIRI WANITA YANG BAIK

1. Perempuan yang cepat nikah (kahwin)

2. perempuan yang ramai anak

3. perempuan yang rendah (sedikit) mas kahwinnya

4. Perempuan yang baik akhlaqnya:

11 huruf CIRI WANITA YANG BAIK

a. baik terhadap suami/ibubapanya,anak- anak

b. Tidak mengumpat terhadap jiran-jiran atau rakan-rakan

c. Sabar dalam menempuan dugaan Allah

d. Tidak berhias semasa keluar rumah.(berhias hanya utk suami)

e. Tidak memaksa suami mengikut kehendaknya

f. Syukur terhadap pemberian suami walaupun ianya sedikit tidak disuka

g. bercakap mengenai perkara-perkara berfaedah

h. taat terhadap suami

i. diam ketika suaminya berbicara

j.tidak keluar rumah tanpa izin suami

k.baik pergaulan dengan rakan serta jiran tetangga

Sabtu, 16 Oktober 2010

Nikah Khitbah : Solusi Masalah Cinta Remaja

Oleh : Ustaz Muhd Rajie Lioli (Lulusan Sejarah Dunia & Ketamadunan Islam dan Usuludin: Jordan)

Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.

Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.

“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.

Akibat Kurang Bercinta

Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota.

Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.

Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dia insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.

Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada Negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!

Khitbah Bukan Tunang

Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.

Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.

Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.

Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.

Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?

Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

Khitbah di IPT

Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.

Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kea rah maksiat dan nafsu.

Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naïf bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.

Risiko

Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT. Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!

MASALAH JIWA KERANA CINTA

by Vokalislamic Musleemin on Tuesday, October 12, 2010 at 5:32am
Fana, itulah perkataan yang tepat apabila berbicara soal cinta. Cinta itu segalanya indah, tapi ramai jua merasai pahitnya cinta.
Selepas saya menulis beberapa artikel yang menyentuh serba sedikit tentang isuevergreen iaitu CINTA, membuatkan diri ditempatkan oleh pembaca menjadi salah seorang dari rujukan. Sedangkan nikah pun belum, ayat power dan sakti untuk mencairkan wanita belum lagi digunakan. Dan sekarang satu demi satu ada yang meminta pandangan.
Saya serba sedikit cuba untuk menjadi pendengar yang setia, bukan untuk memberikan satu jawapan yang tepat dan jitu. Kerana cinta itu masalah dan bicara jiwa. Jiwa pula berbeza-beza tempatnya disetiap manusia. Mana mungkin saya memberikan jawapan melainkan banyak berkongsi cerita bagaimana untuk menguruskan cinta. Memberikan alat kepada mereka untuk mencari jawapan.
Hadir dalam riang. Hadir dalam duka. Hadir dalam keliru. Hadir dalam blurr.
Itulah warna warni pembaca yang tampil untuk berkongsi cerita dengan saya. Sudah semestinya setiap yang hadir, saya raikan dengan hati yang berbunga-bunga.
Cinta diungkap, hati gelisah.
"Amad, anda percaya tentang mimpi tak?" tanya seorang teman maya.
"Mimpi? Nak kata tak percaya, tidak juga. Nak kata percaya, silaplah. Tapi banyaknya tak percayalah. Kenapa tiba-tiba buka bab mimpi ni?" saya menjawab dan pada masa sama cuba memberi ruang keselesaan kepada beliau untuk berkongsi rasa.
"Macam ini, saya semenjak dua tiga hari ini, asyik bermimpi tentang seorang lelaki ni saja. Saya tak nak, tapi sering termimpi," dia bercerita. Lelaki mimpi lelaki? Haru! Kawan maya saya ini adalah seorang wanita. Jadi pantas saja yang masuk dalam mimpinya lelaki.
"Special sangatkah lelaki tu sampai angau begitu sekali?" saya bertanya lagi. Cuba mengumpulkan sebanyak mungkin informasi daripada history taking yang dijalankan.
"Macam ini sebenarnya. Saya ini ada suka seorang lelaki ini. Tapi tahu sahajalah, saya perempuan, bila suka, hanya mampu buat hanya diam saja. Pendam rasa sorang-sorang. Itu ok lagi. Tetapi satu hari, sebelum lelaki itu mahu ke luar negara belajar untuk beberapa tahun, dia datang jumpa dengan saya..." beliau bercerita.
Orang menaruh hati memendam rasa, datang pula sang jejaka pujaan. Mengantuk disorongkan bantai beb. Indah!
"Apa yang dia cakapkan?" tanya saya lagi. Cuba mengumpul simptom.
"Dia cakap dia sukakan saya. Dia janji selepas habis belajar nanti, dia akan datang cari saya kembali, Insyallah. Dan itulah masalahnya. Selepas itu hati saya tak tenang, asyik teringatkan dia. Sedangkan dia di luar negara, tanpa beri keputusan yang pasti," beliau menyambung.
Penantian satu penyeksaan. Keluar daripada kes sebentar, ini terutama untuk muslimat. Jika orang hadir, bertanya soal hati, cubalah menyatakan keputusan itu secepat mungkin dengan berfikir. Jika YA, katakan dengan cepat. Jika TIDAK, katakan dengan cepat. Anda mungkin tidak perasaan dan tidak mengerti, ada lelaki yang tidak keruan hidup tanpa keputusan yang tepat dan cepat.
Jangan seksa mereka dengan penantian yang lama.
"Apa pandangan dan nasihat Amad pada saya? Saya tahu itu silap, tapi macam mana nak baiki dan ubah?"sedih bunyinya.
"Pertama, saya nak sekeh kepala mamat yang cakap sayang tu," saya menjawap.
"Hah, suka hati nak sekeh kepala orang," cepat beliau memberi respon.
"Ops, maaf terlupa pula kepala orang saya nak sekeh itu adalah 'cik abang'," saya bergurau.
"Sebenarnya, orang yang membuat kesilapan paling besar adalah lelaki itu. Anda, rasa suka, rasa minat kepada seseorang, itu wajar saja. Tetapi tindakan lelaki itu adalah amat tidak wajar," saya bagi pandangan.
"Salah lelaki tu? Kenapa? saya tidak faham," dia menyoal balas.
"Silap paling besar lelaki itu adalah dia mengucapkan rasa sayang dia itu pada anda!"
Perasaan wanita, lelaki harus hormati.
Adakah salah meluahkan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?
Adakah salah menyimpan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?
Jangan sekali-kali kita menjadi robot cinta. Persoalan dan bicara soal hati dan perasaan diukur dengan digital.
Wanita sebenarnya kompleks hatinya, dan akan mudah dipengaruhi oleh perasaan. Bagi mereka yang tidak menaruh harapan kepada seorang lelaki itu, apabila diuji dengan persoalan berkaitan hati, sudah tidak nyenyak tidur, makan tidak kenyang, mandi tidak basah. Inikan pula yang sudah menaruh harapan.
Mengantuk disorongkan bantal. Tetapi bantal itu bukan bantal biasa, ia bantal fatamorgana. Empuk bicaranya, hakikatnya sensara. Empuknya bisa mengusik hati si gadis, sengsaranya adalah penantian tidak pasti.
Anda! Jika minat dan menaruh harapan kepada si gadis, dan merasakan jalan pernikahan itu masih jauh dipandangan mata, jangan sekali-kali gatal meringankan mulut untuk meluahkan perasaan sayang itu.
Anda mahu pergi jauh, pergilah. Jangan mengusik perasaan si gadis dengan luahan itu. Elok-elok si gadis dapat mengawal diri dengan sangkaan hanya bertepuk sebelah tangan, datang kita untuk bertepuk sama tetapi dalam nada yang tempang.
Kita sebagai lelaki mungkin tidak mengapa, masih mampu mengawal diri. Tetapi mereka? Sedangkan hakikat sebenar jiwa lelaki dan wanita itu berbeza.
Anda mahu pergi dalam masa yang lama, pergilah. Pulang, jika masih ada sisa sayang dan harapan itu, pergilah mencari kembali si gadis. Dan jika si gadis pada saat itu sudah diijabkabulkan dengan jejaka lain, apa susah, cari saja yang lain! Reda dengan ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu lebih utama kerana menghadirkan kegelisahan hati pada si gadis itu dosa.
Jadi, bila perlu beritahu yang kita berkenan pada dia?
Apabila sudah berkenan, hadirnya rasa suka dan merasakan jalan untuk ke gerbang pernikahan itu semakin jelas. Pada saat itu, silakanlah mengungkap rasa kasih dan sayang itu kepada ibu bapa si gadis. Bertemulah dengan kedua orang tua si gadis. Mintalah izin dengan ibu bapa si gadis.
Cepat-cepatkanlah kepada shake hand dan lafazkan "Aku Terima Nikahnya".
Lawan jangan layan jangan.
"Dah tu, sekarang dia pun terlepas cakap. Saya pulak dah lama terseksa dengan perasaan ini. Macam mana nak buang ni?" tanya beliau.
Buang jangan, manage perlu. Bagaimana? Cara menguruskan angau yang tidak berpijak ini adalah dengan melupakannya.






Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!
Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.
Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.
Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat "memberi".





Ustaz Hasrizal

Tidak lupa juga ingin saya berpesan untuk sekian kalinya, masalah sayang, masalah cinta, masalah rindu adalah masalah jiwa. Kembalikan masalah jiwa ini kepada pemilik segala jiwa. Allah SWT. Jangan lepas daripada bermunajat kepada-Nya memohon kekuatan. Jika tidak dijawab dalam satu hari, biarlah terus berusaha hatta 100 tahun sekalipun. Doa tetap doa, kerana kita hamba.
Cinta itu harus fikir, fikir itu harus mengunakan akal, akal mampu sihat dengan hanya disirami iman.


ahakssssss
Comment · Like · Share

Jumaat, 15 Oktober 2010

Wahai Para Pendakwah...!

KAMU... Mereka yang dikurniakan Allah nikmat ilmu al-quran dan hadith. Yang mengetahui apa yang tidak kami ketahui tentang agama kami sendiri. Dengan itu, telah menjadi tanggungjawab kamu untuk menyebarkannya kepada kami.

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."
- Al-Baqarah, 42 -

Wahai para dai'e,
Dengarlah rintihan dan permintaan daripada kami ini, agar kami boleh memahami apa yang telah menjadi pegangan kami selama ini. Kami tidak ingin jahil selamanya, kami punya semangat tapi kami memerlukan dorongan, sedikit anjakan daripada kamu, dan peringatan agar kami tidak kembali lalai.


"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

-Ali-Imran, 104 -

Wahai para dai'e,
Janganlah kamu sesekali merasakan diri kamu itu lebih hebat dan mulia daripada kami, kerana ianya hanya akan menyebabkan kami menjauhi kamu. Biarlah kami sendiri yang merasakan diri lemah dan jahil berbanding dengan kamu agar kami sentiasa mendekatimu untuk memperbaiki diri kami agar memperoleh keredhaan Allah.

"Zuhud-lah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhud-lah terhadap apa yang ada di tangan manusia maka manusia pun akan mencintaimu."

- H.R Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad hassan -

Wahai para dai'e,
Berilah kami nasihat dan peringatan yang sesuai dengan tahap kemampuan iman kami, bersikap lembutlah terhadap kami, bantulah kami membentuk aqidah kami, janganlah engkau menyeru kami untuk menunaikan ibadah-ibadah sunnah sedangkan ibadah wajib kami tinggalkan.

Jawablah soalan-soalan kami dengan bijak dan sertakanlah sedikit jawapan tambahan agar boleh kami mengambil pengajaran yang bermanfaat, seperti mana Rasulullah saw apabila baginda ditanya sama ada air laut itu boleh dibuat wudhuk atau tidak, baginda menjawab

"Laut itu airnya suci lagi menyucikan dan bangkai haiwannya halal"

- H.R Malik, al-Syafi'e -


Wahai para dai'e,
Telah kamu ketahui tanggungjawabmu, maka tunjukkanlah kami teladan yang baik untuk kami ikuti. Janganlah kamu hanya menasihati kami dengan mulutmu, tetapi tidak dengan akhlakmu. Kita sendiri tahu bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak suka perbuatan seumpama itu.


"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"

- Al-Baqarah, 44 -

Dan, telah kamu wahai para dai'e, menjalankan tanggungjawabmu. Maka tibalah giliran kami untuk menyampaikan nikmat Allah ini kepada saudara kita yang masih tidak mengetahui. Dan semoga kita dirahmatiNya...

"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya".

- Ad-Dhuha,11 -